Khamis, 9 Oktober 2014

BAB 5 ISU ISU KEPRIHATINAN NEGARA

PERANAN MALAYSIA DALAM ASEAN









Malaysia dan Hubungan Serantau (ASEAN)
    Keanggotaan dan matlamat
    Bentuk kerjasama
    Cabaran



Pengenalan
Dasar luar Malaysia bertujuan menjamin kemakmuran dan kestabilan negara serta keselamatan negara. Kerjasama antarabangsa dan hubungan luar melibatkan unsure politik, social, ekonomi dan budaya. Dasar luar Malaysia juga melibatkan usaha mencari cara-cara baharu untuk mencapai dan menjaga kepentingan negara dalam persekitaran antarabangsa yang sentiasa berubah. Perkembangan dasar luar negara dipengaruhi fahaman atau konsep kepimpinan setiap Perdana Menteri. Jika sebelumnya dasar luar negara lebih menekankan hubungan serantau, kini penekanan lebih diberikan pada hubungan dengan negara lain pada peringkat antarabangsa demi memelihara kepentingan ekonomi dan politik selaras dengan era globalisasi.


Keanggotaan dan Matlamat
Keanggotaan ASEAN

Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) ditubuhkan di Bangkok, Thailand pada 8 Ogos 1967 melalui Deklarasi Bangkok.
ASEAN terdiri daripada Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand. Brunei Darussalam menyertai ASEAN pada 7 Januari 1984, Vietnam pada tahun 1995, Laos dan Myanmar pada tahun 1997 dan Kemboja (Kampuchea) pula menyertai ASEAN pada tahun 1999.


Matlamat ASEAN
Antara matlamat penubuhan ASEAN adalah seperti berikut:
    Mempercepatkan pertumbuhan ekonomi, kemajuan social dan pembangunan kebudayaan di rantau Asia Tenggara.
    Menggalakkan keamanan dan kestabilan politik di rantau Asia Tenggara dengan mematuhi prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu
    Menggalakkan kerjasama dan bantuan antara satu sama lain dalam pelbagai bidang termasuk latihan dan penyelidikan
    Meningkatkan taraf hidup rakyat negara anggota melalui kerjasama dalam sektor pertanian dan perdagangan.
    Mengeratkan hubungan dengan pertubuhan serantau dan antarabangsa lain.


Bentuk Kerjasama 


 






Kerjasama Politik


1.    Untuk menjamin kestabilan politik dan keamanan negara serantau, konsep ZOPFAN  telah diwujudkan melalui Deklarasi Kuala Lumpur pada 27 November 1971.
2.    Matlamat penubuhannya ialah:
a.    Memelihara keamanan dan kestabilan politik di rantau Asia Tenggara dengan mengelak campur tangan daripada mana-mana pihak luar seperti Rusia, Amerika Syarikat dan China dalam hal-hal di rantau ini.
b.    Menyediakan saluran untuk menyelesaikan pertikaian yang berlaku di Asia Tenggara secara aman dan bukan menggunakan kekerasan.
c.    Mengelakkan penglibatan dalam pertikaian antara kuasa besar.
d.    Memberi peluang kepada negara anggota untuk menentukan nasib sendiri.
3.    Zon Bebas Senjata Nuklear (SEANWFZ) dibentuk pada 16 Disember 1987 untuk memastikan kawasan ASEAN bebas daripada ancaman senjata nuclear.
4.    ASEAN mengamalkan pendirian bersama dalam isu politik seperti pencerobohan Vietnam di Kemboja, iaitu tentera Vietnam harus berundur dari Kemboja dan rakyatnya diberi peluang untuk menentukan nasib negara mereka sendiri.

Kerjasama Ekonomi

Kerjasama ekonomi dari tahun 1967 hingga 1976 boleh dikatakan lembab kerana tiada aktiviti dijalankan pada peringkat ASEAN. Kerjasama ekonomi bermula setelah beberapa perjanjian seperti Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (Treaty of Amity and Cooperation) dan Perisytiharan Pakatan ASEAN (Declaration of ASEAN Concord) ditandatangani pada tahun 1976 di Bali semasa Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan ASEAN pertama.
Antara kerjasama ekonomi negara-negara anggota ASEAN adalah seperti berikut:
Melaksanakan projek-projek perindustrian seperti:

  • Projek Baja Urea ASEAN di Indonesia
  • Projek Baja Urea ASEAN di Malaysia
  • Projek Fabrikasi Tembaga ASEAN di Filipina
  • Projek Vaksin Hepatitis B ASEAN di Singapura
  • Projek Garam Batuan-Abu Soda ASEAN di Thailand
  • Mengadakan usaha sama perindustrian ASEAN.
  • Mengadakan Skim Pelengkapan Perindutrian ASEAN, misalnya dalam bidang automotif.
  • Mewujudkan Peraturan Perdagangan Istimewa 1977 untuk meningkatkan perdagangan antara negara anggota. Keistimewaan yang diberikan termasuk kontrak kuantiti jangka panjang, perolehan istimewa oleh entiti kerajaan, pelonggaran langkah-langkah bukan tarif dan perluasan tarif istimewa.
  • Mengadakan kerjasama dalam sektor kewangan
  • Majlis Perbankan ASEAN (ASEAN Banking Council) ditubuhkan untuk menyelaras kegiatan bank-bank perdagangan di rantau ASEAN
  • Syarikat Kewangan ASEAN ditubuhkan untuk memberikan kemudahan kewangan kepada negara-negara yang terlibat dalam projek-projek uasaha sama ASEAN.
  • Mengadakan kerjasama dalam bidang komunikasi
  • Pemasangan kabel laut ASEAN menghubungkan negara anggota
  • Mengasaskan Skim Pertukaran Berita Televisyen
  • Mengiktiraf lessen pemandu di rantau ASEAN
  • Mengadakan kerjasama dalam sektor makanan dan pertanian
  • Penubuhan Pusat Perancangan Pembangunan Pertanian ASEAN sebagai bank data mengenai masalah pertanian
  • Penubuhan Plant Quarantine Traning Centre and Institute di Serdang
  • Mengadakan dialog dengan negara-negara maju
  • Mewujudkan Kawasan Pertumbuhan Segi Tiga yang menggalakkan pembangunan dalam bidang perdagangan, perlancongan, pengangkutan dan perhubungan seperti:
  • IMT-GT (Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand)
  • IMS-GT (Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Singapura)    BIMP-EAGA (Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina)
Kerjasama Sosial dan Kebudayaan
Tabung Kebudayaan ASEAN diwujudkan untuk mengeratkan hubungan antara negara ASEAN melalui aktiviti kebudayaan seperti Pesta Filem ASEAN dll.
Penubuhan Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM). Tujuan penubuhan adalah seperti berikut:

  • Mengembangkan Bahasa Melayu supaya setaraf dengan bahasa moden
  • Meningkatkan semangat persaudaraan di antara negara anggota
  • Meningkatkan peranan Bahasa Melayu sebagai alat perhubungan yang lebih luas
  • Pembentukan Pertubuhan Menteri-menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO)
  • Menggalakkan kerjasama dalam bidang ilmu pengetahuan
Menganjurkan projek berikut;
  • Pusat Kajian Bahasa Inggeris di Singapura (RELC)
  • Pusat Pembaharuan dan Teknologi di Filipina (INNOTECH)
  • Pusat Pendidikan Serantau bagi Pendidikan Sains dan Matematik (RECSAM) di Pulau Pinang.


Cabaran ASEAN
Ekonomi
Pengurangan permintaan pasaran dunia terhadap sumber bahan utama seperti bijih timah dan getah asli negara-negara ASEAN telah membantutkan pertumbuhan ekonomi dirantau ini.Negara-negara ASEAN terpaksa member perhatian kepada sektor perkilangan dan perkhidmatan.
Pengeluaran dan pemasaran keluaran yang sama menyebabkan persaingan yang sengit dikalangan negara ASEAN.Pergantungan kepada negara maju dari segi ekonomi masih berlanjutan. Indonesia dan Thailand dibebani hutang luar negara.


Sosial
Negara ASEAN menghadapi cabaran besar untuk mengekalkan taraf hidup rakyatnya. Proses pembandaran yang pesat dan kadar pengangguran yang meningkat menjejaskan usaha meningkatkan taraf hidup penduduk di negara ASEAN.


Politik
Perubahan kepimpinan di sesetengah negara ASEAN Percubaan rampasan kuasa atau keganasan di Filipina dan Indonesia. Negara ASEAN terpaksa mengenakan sekatan terhadap kebebasan berpolitik di negara masing-masing.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan